Art Market Malaysia Kutip RM20,000 Melalui Lelongan Seni Amal Pertama

KUALA LUMPUR, 15 Jan — Art Market Malaysia berjaya mengumpul RM20,000 melalui lelongan seni amal pertamanya di Pavilion Damansara Heights, dengan dana disalurkan kepada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Lelongan itu bertujuan menggabungkan nilai seni dan kemanusiaan dalam satu program amal, menurut Pengasas Art Market Malaysia, Rita Hatta.

"Penganjuran lelongan seni amal ini bukan sekadar acara jualan, tetapi merupakan satu inisiatif yang lahir daripada keprihatinan kami terhadap kedudukan artis-artis yang sering berada di luar radar pasaran arus perdana," kata Rita Hatta.

Sebanyak 50 unit karya seni dilelong dan lapan daripadanya berjaya terjual, membuktikan sokongan terhadap karya artis tempatan.

Antara artis yang berjaya menjual karya ialah Adam Haris, Khalidah Asri, Nazarsham dan Joyce, mewakili kelompok artis amatur, semi profesional serta bakat baharu.

"Kami percaya bahawa dengan menyediakan ruang yang inklusif, beretika dan tersusun, artis-artis ini mampu menembusi pasaran dan membina keyakinan untuk terus berkarya secara berterusan," tambah Rita Hatta.

Art Market Malaysia diasaskan pada November 2014 dengan kepercayaan bahawa seni tidak seharusnya bersifat eksklusif atau terhad kepada nama-nama besar sahaja.

Rita Hatta berkata, ramai artis amatur dan semi profesional menghasilkan karya berkualiti tetapi berdepan kekangan akses pasaran, rangkaian pengumpul dan peluang pendedahan.

"Walaupun ini adalah penganjuran pertama dan berskala sederhana, sambutan yang diterima memberi isyarat positif bahawa masyarakat bersedia menyokong seni tempatan apabila diberikan ruang dan konteks yang sesuai," ujarnya.

Art Market Malaysia merancang menganjurkan jualan seni eksklusif di Parlimen sama ada pada Februari atau Mac depan, selama empat hari, melibatkan pameran dan jualan sebanyak 100 unit karya seni.

Artis yang berjaya menjual lukisan melahirkan rasa syukur, dengan T. Syed Muhammad berharap lebih banyak jualan lelong seumpama ini diadakan pada masa depan.

"Sebagai pelukis amatur yang baru mencari tapak dalam bidang ini, saya sangat berbesar hati dapat menjual lukisan saya," kata Adam Haris Othman, yang menjual karya bertajuk "Tiger Eye".

Read more