Aset Jutaan Ringgit Bekas Panglima Tentera Darat Dicadang Diserahkan Kepada Kera
15 Januari 2026 MALAYSIA, 15 Jan - Aset bernilai jutaan ringgit yang dirampas dalam siasatan melibatkan seorang bekas Panglima Tentera Darat akan dica...
15 Januari 2026
MALAYSIA, 15 Jan - Aset bernilai jutaan ringgit yang dirampas dalam siasatan melibatkan seorang bekas Panglima Tentera Darat akan dicadangkan dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan untuk manfaat rakyat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, permohonan pelucuthakan sedang disiapkan mengikut prosedur mahkamah.
Tindakan itu bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya dan memerlukan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 41 Akta SPRM 2009.
Keseluruhan barangan disita berjumlah RM11.4 juta, termasuk wang tunai RM4.4 juta dan mata wang asing RM1.4 juta.
Antara aset lain ialah sebuah kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000 dan 26 unit jam tangan mewah bernilai RM2.3 juta.
Barang kemas bernilai RM294,039.90, jongkong emas 3.7 kilogram bernilai RM2.5 juta, dan dua dinar emas turut disita.
Aset-aset ini dirampas di sebuah rumah di Kuala Lumpur dan di Besut, Terengganu.
Sebanyak 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta juga dibekukan untuk membantu siasatan.
Bekas Panglima Tentera Darat itu ditahan pada 7 Januari berkait projek perolehan tender tentera darat bersama dua isterinya.
Pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.
Beliau kemudian dilepaskan daripada tahanan reman pada 12 Januari lepas.