Exco DAP Melaka: Hanya letak jawatan jika diminta Ketua Menteri

MELAKA, 15 Jan — Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Melaka daripada DAP, Allex Seah, menyatakan beliau hanya akan meletak jawatan jika diminta oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, susulan pengumuman peletakan jawatan Exco lain, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

"Kalau Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh suruh saya letak jawatan, saya akan letak jawatan," kata Allex, yang memegang portfolio Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Beliau menegaskan jawatannya adalah hasil pelawaan Ketua Menteri atas semangat memperkukuh Kerajaan Perpaduan dan mendapat restu pucuk pimpinan DAP.

"Jawatan tersebut tidak akan dilepaskan hanya kerana desakan mana-mana pihak sama ada daripada pembangkang atau pihak yang tidak mempunyai kaitan dengan Kerajaan Perpaduan," katanya.

Allex menambah, dalam mana-mana kerajaan negeri, sekiranya seseorang Exco tidak lagi mendapat kepercayaan Ketua Menteri atau parti sendiri, jawatan itu akan digugurkan secara automatik.

"Selagi tiada permintaan daripada pucuk pimpinan parti dan Ketua Menteri, isu ini tidak timbul walaupun ada pihak cuba membangkitkan sentimen politik," jelasnya.

Kenyataan itu dibuat sebagai tindak balas kepada gesaan Pas Melaka agar DAP negeri itu membuktikan pendirian moral dan integriti politik dengan melepaskan jawatan Exco dan Timbalan Speaker DUN Melaka.

Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sedik, berkata gesaan itu selari dengan tindakan berprinsip Dr Akmal yang meletak jawatan Exco Melaka secara sukarela.

Dr Akmal, yang juga Ketua Pemuda UMNO, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu depan.

Beliau berkata peletakan jawatan itu dibuat bagi membolehkannya memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP.

Allex berkata fokus utamanya kini adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

"Apa yang penting ialah kita menumpukan kerja untuk masyarakat, mengurangkan sentimen politik dan terus memperkukuh perpaduan supaya kerajaan ini kekal stabil," katanya.

Read more