Filantropi Malaysia perlu pendekatan berasaskan data, berorientasikan impak - Zu

Filantropi Malaysia perlu pendekatan berasaskan data, berorientasikan impak - Zu

BANGI, 16 Jan — Amalan filantropi di Malaysia perlu digerakkan dengan pendekatan baharu yang lebih profesional, berasaskan data dan berorientasikan impak, selari dengan perubahan global dalam landskap kemanusiaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata, filantropi tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada derma tradisional, sebaliknya perlu diperkasakan melalui kaedah yang lebih sistematik dan berkesan bagi memastikan manfaat sebenar sampai kepada golongan sasar.

"Hari ini, kita tidak boleh hanya bergantung kepada derma biasa semata-mata. Kita perlu menggunakan kaedah kewangan dan filantropi yang lebih kreatif untuk memberi manfaat yang lebih besar kepada masyarakat," katanya.

Zulkifli menegaskan, derma tetap perlu diteruskan, namun ia sahaja tidak cukup untuk memantapkan potensi sebenar filantropi di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) 2025 dan pelancaran kempen #HopeforGaza, di sini pada Khamis.

"Kita tidak boleh hanya memikirkan soal optik untuk menunjukkan derma kepada orang lain, sedangkan sebenarnya tiada impak sebenar," ujarnya.

Zulkifli menegaskan setiap organisasi filantropi perlu memastikan tadbir urus yang baik dan pengurusan berintegriti bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat.

Beliau turut memaklumkan bahawa agensi di bawah kementeriannya termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan YAPEIM diarahkan menawarkan latihan, kepakaran serta kursus kepada NGO.

"Walaupun kita melakukan kebaikan selama 100 tahun, jika sekali ada isu kemungkaran, ketidakjujuran atau penyelewengan, maka seluruh keyakinan dan kepercayaan masyarakat akan runtuh," katanya.

Pada majlis berkenaan, Zulkifli turut menyempurnakan penyerahan simbolik bantuan Sinar Lestari dan bantuan pendidikan YAPEIM, selain menyampaikan sijil penghargaan kepada lebih 20 rakan strategik.

Read more