Kehilangan Pelakon Nadia Kesuma Dilaporkan kepada Polis Arab Saudi
PUTRAJAYA, 15 Jan — Kehilangan pelakon Nadia Kesuma yang gagal dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, pada Khamis lepas telah dilaporkan kepada polis Arab Saudi, menurut Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi.
Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman berkata, laporan mengenai kehilangan pelakon itu telah dibuat dan pihaknya menunggu hasil siasatan polis Arab Saudi.
"Kita sedang tunggu hasil penyiasatan (daripada pihak polis Arab Saudi)," katanya ketika dihubungi Bernama.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, laporan kehilangan Nadia Kesuma kini dirujuk kepada Konsulat Malaysia di Arab Saudi.
Beliau berkata, laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga pelakon itu di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA semalam, diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH).
Media melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik itu gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit di Jeddah pada Khamis.
Kehilangan itu turut disahkan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), semalam.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah berkata, beliau secara peribadi telah memaklumkan perkara terbabit kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Tindakan itu bagi membolehkan langkah segera diambil untuk menjejaki pelakon berkenaan.