Krisya perkemas teknik nyanyian, sedia tampil karya baharu selepas dua dekad
KUALA LUMPUR, 15 Jan — Penyanyi Krisya Norsabrina Roslan, 44, bersedia kembali aktif dalam industri seni selepas hampir dua dekad menyepi dengan memberi tumpuan kepada memperkemaskan kualiti vokal dan teknik nyanyiannya.
Krisya menegaskan beliau tidak mahu terburu-buru menghasilkan single baharu, sebaliknya memilih untuk lebih berhati-hati dalam menentukan hala tuju kerjaya seninya.
"Saya mahu menilai langkah seterusnya dalam industri ini secara lebih matang kerana suara saya agak besar, dan tidak semua lagu sesuai untuk dibawakan," katanya kepada Bernama.
Menurut pelantun lagu Gemersik itu, pencarian komposer yang memahami kekuatan vokalnya menjadi keutamaan bagi memastikan setiap karya mampu menyerlahkan identiti sebenar suaranya.
"Bagi saya, lebih penting lagu itu digubah mengikut karakter serta kemampuan suara sendiri, bukan semata-mata mengikut trend," katanya sambil mengakui turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan sebuah album.
Krisya berkata semangat untuk kembali aktif hadir selepas ditawarkan menyanyikan lagu tema filem Keluang Man pada tahun lalu, yang disifatkan sebagai titik perubahan besar dalam hidupnya.
Sebelum itu, selepas mendirikan rumah tangga, beliau memilih untuk menutup sepenuhnya lembaran kerjaya nyanyian dan memberi tumpuan kepada keluarga serta menguruskan perniagaan bersama suami.
"Kalau ikutkan, memang saya akan terus menjadi suri rumah. Namun peluang merakam semula lagu tema filem Keluang Man membuatkan saya rasa ini memang rezeki serta masa terbaik untuk kembali," katanya.
Ibu kepada empat anak itu turut mengakui sokongan penuh suami menjadi kekuatan utama untuk beliau kembali ke dunia seni, termasuk berkongsi tanggungjawab dalam menguruskan keluarga.
Mengulas penyertaannya dalam program realiti Gegar Vaganza 12, Krisya menganggap pengalaman itu sebagai permulaan baharu untuk kembali mendekati peminat serta industri muzik tempatan.