Pakar gesa perlindungan komprehensif untuk kanak-kanak dalam ekosistem digital M

SHAH ALAM, 15 Jan — Pakar keselamatan siber dan psikologi menekankan keperluan mendesak untuk pendekatan menyeluruh dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian yang semakin kompleks, termasuk buli siber, pemangsaan seksual dan kandungan toksik.

Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Muhamad Fazil Ahmad berkata, Internet dan media sosial kini menjadi ruang sosial utama yang membentuk pemikiran, tingkah laku dan emosi masyarakat, khususnya kanak-kanak dan golongan muda.

"Peningkatan penggunaan peranti mudah alih, algoritma kandungan yang agresif serta kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) telah mempercepat penyebaran maklumat, termasuk kandungan memudaratkan," katanya kepada Sinar Harian.

Muhamad Fazil menambah, ancaman dalam talian hari ini tidak mengenal sempadan geografi dan memerlukan pendekatan keselamatan yang lebih menyeluruh serta keupayaan untuk menyesuaikan diri.

"Antara cabaran utama yang dihadapi ketika ini ialah perlindungan kanak-kanak dalam talian yang semakin sukar dikawal. Kanak-kanak terdedah kepada risiko seperti buli siber, pemangsaan seksual, penipuan serta kandungan tidak sesuai tanpa pengawasan mencukupi," jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa tahap literasi digital masyarakat di Malaysia masih tidak seimbang, dengan ramai pengguna celik teknologi dari segi penggunaan tetapi kurang kefahaman tentang keselamatan, privasi dan implikasi jangka panjang tingkah laku dalam ruang Internet.

"Bentuk ancaman dalam talian yang paling membimbangkan ketika ini ialah ancaman yang bersifat senyap dan berpanjangan. Ini termasuk grooming (pengantunan) dalam talian, penyebaran kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan kewangan bersasar, serta pendedahan berterusan kepada kandungan toksik," kata Muhamad Fazil.

Pakar psikologi kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad pula berkata, kesejahteraan digital perlu dilihat sebagai keseimbangan antara penggunaan teknologi dan kesihatan mental, emosi serta tingkah laku individu.

Fauziah turut menyuarakan kebimbangan mengenai cabaran sebenar berhubung aspek perlindungan kanak-kanak dalam talian di negara ini.

Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) pada 1 Januari lalu untuk memastikan penggunaan Internet yang selamat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memainkan peranan penting dalam menangani ancaman siber yang semakin kompleks dalam ekosistem digital negara.

Read more