Panglima Tentera Darat sahkan 15 pegawai terlibat aktiviti tidak bermoral

PORT DICKSON, 15 Jan — Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman mengesahkan seramai 15 pegawai dikenal pasti terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang dikaitkan dengan budaya "Yeye", seperti yang tular di media sosial.

Beliau berkata, siasatan dalaman telah dilaksanakan dan kini dalam proses untuk mengambil tindakan yang adil dan telus terhadap pegawai berkenaan.

"Ini isu penting yang perlu ditangani, saya tegaskan yang salah tetap salah dan akan dihukum. Kita tidak melindungi mereka yang didapati bersalah," kata Azhan kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Beliau mengarahkan Cawangan Siasatan Jenayah Tentera Darat Malaysia (TDM) dan agensi berkuasa tentera darat untuk melaksanakan siasatan terperinci terhadap semua aduan diterima termasuklah mengenai aktiviti tidak bermoral ini.

Azhan berkata, kepimpinan baharu TDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pegawai berpangkat dan akan berdepan tindakan tegas jika terbukti bersalah.

Beliau menekankan isu integriti dan disiplin merupakan teras kekuatan kepada TDM dan sebarang kesalahan walaupun melibatkan satu individu boleh memberikan kesan besar kepada imej organisasi.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berhubung kemasukan individu tidak berkaitan dan aktiviti tidak bermoral yang dilakukan di dalam kem tentera.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarah menjalankan siasatan dalaman segera bagi menentukan kesahihan dakwaan itu secara menyeluruh.

Sidang media itu diadakan bersempena dengan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 204/25 dan Wanita Siri 50/25 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di sini.

Seramai 1,732 Perajurit Muda termasuk 596 Perajurit Muda Wanita berjaya menamatkan Latihan Asas Ketenteraan masing-masing.

Read more