Pas Pahang tunggu ketetapan pusat sebelum sokong Musyawarah Nasional UMNO
KUANTAN, 15 Jan — Pas Pahang mengambil sikap menunggu perkembangan dan ketetapan Pas Pusat sebelum menyokong cadangan UMNO untuk menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membincangkan agenda politik Melayu.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu berkata, sebarang keputusan bergantung kepada ketetapan Pas Pusat.
"Justeru itu, kita tunggu dan lihat perkembangan ini selanjutnya selain menunggu ketetapan Pas pusat sama ada kita sertai atau sebaliknya," katanya.
Beliau menegaskan, Pas Pahang akan mengikut sebarang keputusan yang dibuat oleh parti pusat.
Andansura menyatakan, secara dasarnya, Pas Pahang menyokong sebarang cadangan atau usaha baik berkaitan penyatuan ummah.
Cadangan Musyawarah Nasional itu diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Jumaat lalu.
Zahid menyebut, musyawarah itu akan membincangkan agenda politik umat Melayu dengan melibatkan semua pertubuhan, pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.
Penganjuran musyawarah itu merupakan sebahagian daripada kerangka pemulihan di bawah tiga langkah pemugaran atau pembaharuan politik UMNO.
Andansura memberikan kenyataan tersebut ketika dihubungi pada Sabtu.
Keputusan Pas Pusat dijangka akan menentukan penyertaan parti itu dalam musyawarah yang dicadangkan oleh UMNO.