Pemandu Lori Maut Terhimpit Akibat Lori Lain Bergerak Sendiri di Kilang Johor Ba

JOHOR BAHRU, 15 Jan — Seorang pemandu lori maut selepas terhimpit antara dua kenderaan di sebuah kilang di sini pada Jumaat, dipercayai akibat kecuaian seorang pemandu lori lain yang tidak menarik brek tangan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 10.10 pagi dan pihaknya menerima laporan pada jam 10.20 pagi.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori jenis CK450UN dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun tiba ke lokasi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

"Dia kemudiannya meletakkan lori dipandunya itu di tempat yang curam tidak jauh di belakang lori mangsa, seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun sedang berdiri antara lorinya jenis Mitsubishi Fiso dengan van jenis Toyota Hiace bagi menunggu giliran memuatkan barang."

"Bagaimanapun, tiba-tiba lori berkenaan bergerak sendiri lalu melanggar lori mangsa sehingga menyebabkan mangsa terhimpit di antara lorinya dan van Toyota Hiace," tambah Mohd Sohaimi.

Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Pasir Gudang untuk dibedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Sebarang maklumat daripada saksi boleh disalurkan kepada pihak polis di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan sikap sabar dan mematuhi peraturan jalan raya serta sentiasa berhemah ketika berada di jalan raya.

Read more