Pemilik Premis Cuci Kenderaan Maut Ditembak Enam Das di Nibong Tebal

NIBONG TEBAL, 15 Mac — Seorang lelaki berusia 38 tahun maut selepas ditembak lebih enam das dalam kejadian di hadapan premis cuci kenderaannya di Jalan Besar Permatang Keling di sini, pada Jumaat malam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 malam apabila mangsa, yang dipercayai pemilik premis berkenaan, sedang berada di hadapan premis sebelum dihampiri dua lelaki menunggang sebuah motosikal.

Suspek dikatakan melepaskan tembakan ke arah mangsa, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Parit Buntar bagi mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping.

Bagaimanapun, lelaki itu dilaporkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan kejadian itu.

"Siasatan sedang dijalankan dan pihak polis akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian ini dalam masa terdekat," kata Azizee.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk kes bunuh.

Polis sedang menyiasat motif dan identiti suspek yang melarikan diri dari tempat kejadian.

Tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Read more