Penyatuan parti Melayu penting untuk capai sokongan 51 peratus menjelang PRU16

KUALA LUMPUR, 15 Jan — Penyatuan parti politik Melayu dan usaha membawa pulang ahli yang tersasar merupakan langkah penting untuk meningkatkan sokongan orang Melayu kepada sekurang-kurangnya 51 peratus menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Beliau berkata UMNO perlu keluar daripada sindrom penafian dan menerima hakikat sokongan Melayu kini berpecah.

"Dalam konteks politik Melayu, kita mempunyai UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah) dan gabungan politik berteraskan pelbagai kaum seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta lain-lain."

"Ini jelas menunjukkan bahawa sokongan Melayu kini terbahagi. Oleh itu, angka 28 peratus ini adalah satu realiti yang perlu diteliti secara serius," katanya.

Armand Azha memberi amaran UMNO berisiko dihukum seperti pada PRU15 sekiranya masih berada dalam sindrom penafian menjelang PRU16.

Beliau ditemui Sinar Harian di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.

Sebelum ini, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat menggesa UMNO agar bangkit dan keluar daripada nostalgia kegemilangan parti memandangkan sokongan orang Melayu kini hanya sekitar 28 peratus.

Armand Azha mengharapkan ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada PAU 2025 mampu membawa hala tuju baharu dan meniupkan nafas segar kepada perjuangan parti.

Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man berkata Ahmad Zahid secara terbuka menyatakan kesediaan untuk membuka ruang dan peluang kepada pihak tertentu untuk kembali menyertai UMNO.

"Ruang itu diberikan khususnya kepada ahli parti dan pimpinan yang suatu ketika dahulu merupakan pemimpin besar UMNO, untuk kembali bersama-sama parti bagi meneruskan wadah perjuangan," ujarnya.

Perwakilan UMNO Hulu Langat, Suryady Abdul Jalil berkata ucapan penggulungan PAU kali ini diharap dapat menjadi pemangkin dan suntikan semangat kepada seluruh ahli parti di peringkat bahagian serta akar umbi.

Read more