Perwakilan UMNO Pulau Pinang Bimbang Pembangunan Tidak Terkawal Hakis Status Par
KUALA LUMPUR, 15 Mac — Pembangunan tidak terkawal di Pulau Pinang didakwa semakin menghimpit kawasan perkampungan Melayu dan berpotensi menghakis status kawasan Parlimen Melayu, kata Perwakilan Pulau Pinang, Datuk Mohd Noor Ahmad.
Beliau berkata, situasi itu merupakan antara cabaran yang dihadapi Barisan Nasional (BN) selepas tidak lagi berkuasa di negeri itu pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
"Saya dan beberapa pemimpin Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang pada tahun 2008 lagi saling berbincang dengan pembangunan tidak terkawal ini, kelak akan menghakis status beberapa kawasan 'Parlimen Melayu'," kata Mohd Noor.
Beliau memberi contoh Parlimen Bayan Baru yang pada 1990 dan 2008 masih diwakili oleh wakil rakyat Melayu, tetapi statusnya kini terhakis akibat pembangunan.
"Pembangunan tidak terkawal akhirnya menghakis status Bayan Baru sebagai Parlimen Melayu?" katanya.
Mohd Noor menyatakan kebimbangan pembangunan di Kepala Batas, Tasek Gelugor, Balik Pulau, Permatang Pauh dan Nibong Tebal boleh memberi kesan serupa.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) di sini, pada Sabtu.
Mohd Noor meminta Ahmad Zahid mempertimbangkan keperluan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang memastikan kawasan Parlimen Melayu juga dipecahkan untuk meningkatkan representasi.
"Pastikan kawasan-kawasan Parlimen Melayu sasaran kita pun membawa pada wujudnya lebih banyak kawasan parlimen Melayu..biar benar-benar mencerminkan representasi populasi sebenar Melayu di Parlimen," katanya.
Beliau menambah, sekiranya perkara tersebut tidak boleh dilaksanakan, UMNO perlu menolak syor persempadanan semula tersebut.