PGA tumpaskan sindiket pemerdagangan manusia, 16 PATI ditahan

JITRA, 12 Jan — Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang didalangi tiga rakyat tempatan dan seorang warga Myanmar dalam dua operasi di Jitra dan Nibong Tebal pada Rabu dan Khamis lepas.

Seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar, sembilan lelaki dan tujuh wanita berumur 16 hingga 35 tahun, turut ditahan.

"Dalam operasi itu, pihak polis berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran," kata Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh.

Operasi pertama di Plaza Tol Jitra arah selatan kira-kira jam 4 pagi, Rabu lepas, menemui PATI dalam dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV).

"Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan mendapati terdapat 16 pendatang tanpa izin dipercayai dari Myanmar dan kesemua suspek itu memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan dari negara jiran," katanya.

Dua lelaki warga tempatan berumur lingkungan 40-an dan seorang wanita berusia 16 tahun bertindak sebagai transporter dengan kenderaan disewa, manakala dua suspek mempunyai hubungan bapa dan anak.

Balveer Singh berkata, suspek dijanjikan upah dan dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak lapan bulan lepas.

Polis merampas kenderaan, 18 unit telefon bimbit, wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM254,030.

Operasi susulan menahan seorang lelaki warga Myanmar berumur lingkungan 30-an yang dipercayai ketua sindiket di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Keempat-empat suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 selama 28 hari, manakala PATI direman 14 hari di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Balveer Singh berkata, sepanjang tahun lepas, 14 kertas siasatan dibuka di bawah ATIPSOM dengan 18 tangkapan dan rampasan RM631,380, manakala 102 kes di bawah Akta Imigresen melibatkan 500 tangkapan dan rampasan melebihi RM1.3 juta.

Read more