Rifdean KO Redho Rocky di ONE Friday Fights 138, Mongkol Bertiara Curi Tumpuan
BANGKOK, 10 Jan — Petarung Muay Thai Malaysia, Rifdean Masdor, menamatkan perlawanan atomweight ONE Friday Fights 138 dengan knockout (KO) pusingan pertama ke atas Mohamad Redho 'Rocky' dari Indonesia di Stadium Lumpinee pada Jumaat malam, selepas mongkol bertiara lawannya mencuri perhatian awal.
Rifdean, 23, memulakan pertarungan dengan tendangan tepat ke betis Redho Rocky, 26, yang digelar 'Rodtang Indonesia'.
"Saya lebih tenang menyerap setiap asakan," kata Rifdean mengenai strateginya.
Detik penamat berlaku apabila Rifdean melancarkan spinning elbow tepat ke kepala Redho Rocky, menyebabkan lawannya hilang keseimbangan.
Rifdean kemudian meneruskan tekanan dengan rangkaian serangan lutut dan tendangan, memaksa pengadil menghentikan pertarungan.
Kemenangan itu membawa pulang bonus prestasi 350,000 baht (RM45,500) untuk Rifdeen.
Rekodnya di ONE Championship kini lima kemenangan daripada enam penampilan, mengukuhkannya sebagai prospek utama negara untuk kontrak rasmi.
Sebelum pertarungan, mongkol Redho Rocky yang dihiasi tiara dan kelihatan feminin mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen yang mengikuti siaran langsung.
Rifdean mempunyai latar belakang cemerlang antarabangsa, termasuk tiga gelaran juara dunia bawah 23 tahun berturut-turut (2021-2023) dan pingat emas Sukan SEA 2019.
Dia memulakan langkah di ONE Championship pada 22 Mac 2024 dengan kemenangan TKO dalam 78 saat ke atas Pichai Lookbanmai dari Thailand.