Saifuddin Nasution belum tentukan kerusi PRU16 meski buka pusat khidmat di Padan

KULIM, 15 Jan — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan pembukaan Pusat Khidmat Rakyat di Parlimen Padang Serai bukan petanda beliau akan bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Saifuddin berkata beliau masih belum membuat keputusan mengenai kerusi yang bakal ditandinginya.

"Tidak, itu terlalu awal untuk saya tentukan kerusi. Saya ada pejabat di Alor Setar sebagai Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri, jadi di Kedah selatan kita buka pusat khidmat supaya rakyat lebih mudah mendapat akses," katanya.

"Saya boleh jadi bertanding, boleh jadi tidak. Boleh jadi di sini, boleh jadi tempat lain. Jadi masih terbuka semua," tambahnya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Padang Serai.

Saifuddin sebelum ini pernah menang di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu pada PRU14, namun tewas pada PRU15.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata sebagai pembangkang di Kedah, PKR perlu memainkan peranan yang lebih efektif.

Menurutnya, PKR perlu bukan sekadar mengkritik kerajaan negeri, tetapi turut menawarkan penyelesaian terhadap masalah rakyat.

"Berbeza di Pusat, di Kedah kita adalah pembangkang. Jadi kita perlu memainkan peranan semak dan imbang dengan organisasi yang kemas dan maklumat tepat," ujarnya.

Saifuddin berkata Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah yang diadakan pada Jumaat bertujuan memperkemas gerak kerja parti.

Beliau berkata selepas tiga tahun sebagai Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah, beliau boleh pantau pencapaian projek Kerajaan Persekutuan.

Read more