SPRM perlu cekap, pantas tangani persepsi masyarakat
PUTRAJAYA, 15 Jan — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak cekap dan pantas menangani persepsi awam supaya maklumat tersebar tidak dipercayai tanpa penjelasan rasmi, kata Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki.
"Kita jangan hidup dalam alam lain, kita perlu sedar realiti, persepsi ini tidak boleh ditahan dan kita tidak mampu menghalang orang ramai mengeluarkan pandangan sama ada positif atau negatif," katanya pada Sabtu.
"Apa yang penting kaedah untuk menanganinya dan segera memberikan jawapan atau maklum balas."
Beliau menegaskan kelewatan memberi penjelasan terhadap isu kritikal boleh menyebabkan persepsi negatif diterima sebagai kebenaran dalam tempoh singkat.
"Jika sesuatu perkara atau isu itu tidak dijawab, dalam tempoh 24 jam orang akan mula mempercayainya."
"Sebab itu kita perlu cepat dan dalam hal ini, saya berterima kasih kepada Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM yang sentiasa berusaha menangani persepsi," tambahnya.
Pengarah BKS SPRM, Hisyam Mohd Yusoff, berkata SPRM antara agensi kerajaan yang sering menjadi tumpuan dan sasaran masyarakat.
"Pelbagai persepsi pasti timbul setiap kali SPRM melaksanakan tugasan penguatkuasaan."
"BKS sentiasa memastikan setiap isu dan persepsi yang berlaku dapat ditangani dengan baik dan berhemah," katanya.
Usaha itu mencerminkan kerjasama erat semua bahagian dan negeri di SPRM dalam menangani persepsi, selaras dengan panduan serta arahan berterusan pengurusan tertinggi agensi tersebut.
Terdahulu, media melaporkan Kementerian Komunikasi terus memperkasakan komunikasi kerajaan bagi memastikan maklumat berkaitan dasar, program dan bantuan kerajaan disampaikan secara jelas, tepat serta mudah difahami rakyat.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, penyelarasan jentera komunikasi kerajaan turut diperkukuh membabitkan pegawai penerangan, pegawai perhubungan awam dan Unit Komunikasi Korporat di semua kementerian serta agensi.