UMNO Johor beri amaran tegas kepada 'ejen sabotaj' dalam parti

KUALA LUMPUR, 15 Jan — UMNO Johor mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana pihak yang didakwa cuba menggagalkan agenda kemajuan negeri, dengan memberi kata dua sama ada berhenti atau akan ditinggalkan.

Perwakilan Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, parti itu tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Dalam pada Johor mencipta kejayaan demi kejayaan, memang ada pihak yang rasa terancam baik di dalam..baik di luar..ada yang tidak senang melihat kesenangan orang lain," katanya.

Beliau menambah, terdapat pihak yang gemar menangguk di air keruh dan mengaut keuntungan politik daripada kesusahan orang lain.

"Sama ada mereka yang terlalu gopoh mencari kerusi atau yang terlalu ghairah menuntut jawatan dalam kerajaan atau mereka yang membakar sentimen memecah-belahkan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di Johor."

"UMNO Johor memberi kata dua, sekiranya mereka memilih menjadi batu penghalang dan terus berperanan kepada ejen sabotaj yang menggagalkan agenda kemajuan bangsa Johor dan negara, maka mereka harus sedar bahawa Johor dan UMNO tidak akan berhenti melangkah ke hadapan dan sebaliknya mereka akan kami tinggalkan," tegas Abdul Halim.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.

Abdul Halim menegaskan, UMNO Johor tidak mahu terjebak dengan sebarang polemik sempit yang tidak membawa nilai kepada kemajuan negeri dan orang Melayu.

"Pendirian kami di Johor adalah jelas dan berprinsip," katanya.

Beliau turut menyatakan, Johor menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk menentukan hala tuju dan kerjasama yang ingin dibentuk pada masa depan.

Read more