UMNO Lebih Baik Adakan Pemilihan Selepas PRU16 Elak Sabotaj - Ketua Bahagian

KUALA LUMPUR, 15 Jan — Pemilihan parti UMNO lebih baik diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi mengelakkan berlakunya unsur sabotaj antara kepimpinan parti, kata Ketua Bahagian UMNO Semporna, Abdul Manan K K Indana @ Indanan.

"Itu antara sebabnya lebih baik kekal kepimpinan sekarang. Lepas PRU barulah susun semula," katanya kepada Sinar Harian.

"Kalau buat sebelum kita risau pihak tidak menang akan sabotaj parti," ujarnya.

Beliau berkata, tidak semua akar umbi mahukan pemilihan sebelum pilihan raya.

"Mungkin itu unsur daripada bahagian yang mempunyai masalah dengan kepimpinan parti," katanya.

Sebelum ini, UMNO menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya dijadualkan berlangsung tahun ini selepas PRU16.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan keputusan sama ada dua jawatan tertinggi akan dipertandingkan atau sebaliknya juga diputuskan kemudian.

Bagi Ketua Cawangan Bahagian Jasin, Razali Othman, lebih baik parti memberi fokus untuk memenangi lebih banyak kerusi pada PRU16 ini.

"Bagi pandangan saya lebih baik lah (pemilihan selepas PRU16). Kalau buat sblm kadang ada banyak team, tidak sependapat dan ada yang merajuk," katanya.

Ahli UMNO Lembah Pantai, Suzzalina Anuar berkata, ahli akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh presiden.

"Bergantung dengan presiden sebab dia ketua kita. Kalau dia kata buat selepas PRU kami sebagaj ahli akur," jelasnya.

Read more