UMNO Terengganu Akui Masih Sukar Tewaskan PAS Tanpa Strategi Tersusun
KUALA LUMPUR, 15 Mac — UMNO Terengganu mengakui parti itu masih gagal menewaskan PAS sekiranya pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat tanpa strategi tersusun, menurut perwakilan negeri.
Perwakilan Terengganu, Nurhisam Johari berkata, hakikat itu perlu diterima meskipun pahit kerana sentimen politik di negeri berkenaan adalah berbeza.
"Jujurnya, sekiranya pilihan raya Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan esok atau dalam masa terdekat, maaf menyebutnya, BN-UMNO di Terengganu akan menghadapi kekalahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) di sini, pada Sabtu.
"Bukan bermakna kami menyerah sebelum berjuang. Namun hakikat yang terpaksa kami akur, bahawa suasana atau sentimen politik di Terengganu berbanding di negeri-negeri lain amat berbeza," tambahnya.
Nurhisam berkata, tanpa strategi dan gerak kerja yang lebih tersusun, jangkauan untuk menawan semula Terengganu akan menempuh jalan sukar.
PRN Terengganu pada 2023 lalu menyaksikan PAS menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Beliau mengakui UMNO Terengganu masih jauh daripada mampu meroboh doktrin politik sentimen yang terus menebal dalam kalangan penyokong PAS.
Parti itu juga gagal memanfaatkan peluang untuk menyerang PAS yang kini berdepan banyak kelemahan kerana kekangan khususnya di media sosial.
"Kita masih gagal melawan sikap agresif dan kesukarelaan gerak kerja propaganda dan tindak balas berstrategi daripada cybertrooper media sosial parti lawan dan proparti lawan," jelasnya.
Nurhisam berkata, UMNO telah mula menyerang naratif PAS melalui Unit Komunikasi Strategi yang dibentuk, tetapi tahap agresif dan kesukarelaan masih belum mencukupi.