YAPEIM lancar kempen #HopeforGaza untuk kutipan dana bantuan Palestin

YAPEIM lancar kempen #HopeforGaza untuk kutipan dana bantuan Palestin

BANGI, 13 Feb — Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) melancarkan kempen #HopeforGaza sebagai platform rasmi untuk orang ramai menyalurkan sumbangan kepada rakyat Palestin melalui pengurusan kerajaan yang telus dan teratur.

Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan berkata, kempen itu diwujudkan bagi memudahkan masyarakat menyalurkan infak tanpa berdepan risiko kelewatan, ketirisan atau penyelewengan.

"Kempen ini adalah inisiatif YAPEIM sendiri sebagai agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), walaupun terdapat beberapa inisiatif lain yang dilakukan pihak lain," katanya.

Beliau berkata, sasaran awal kutipan bagi kempen #HopeforGaza ditetapkan sebanyak RM1 juta untuk tahun ini.

"Sebarang kutipan tambahan akan disalurkan sepenuhnya melalui Tabung Musa'adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik YAPEIM 2025 dan Pelancaran Kempen #HopeforGaza yang berlangsung pada Khamis.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, serta Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Khudus Mohd Naaim.

Zabidi berkata, kempen itu terbuka kepada penyertaan semua pihak termasuk individu, syarikat korporat, agensi kerajaan dan NGO yang berminat untuk menyumbang.

Beliau menegaskan bahawa kempen itu tidak melibatkan sebarang usahasama dengan mana-mana pihak, sebaliknya YAPEIM bertindak sebagai platform infak yang ditawarkan kepada masyarakat secara terbuka.

"Ini adalah langkah proaktif kerajaan bagi menyediakan satu saluran rasmi untuk membantu Gaza dan mengelakkan ketirisan, penyelewengan serta isu kepercayaan," ujarnya.

Zabidi berkata, kaedah sumbangan yang disediakan termasuk penggunaan kod respons pantas (QR) serta potongan RM10 melalui akaun bank peribadi.

Menurutnya, maklumat lanjut berkaitan kaedah sumbangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial rasmi YAPEIM.

Read more